Hafizh Syahrin Gondol Gelaran Juara Keseluruhan ARRC
UltraSukan
JDT Racing Team

Hafizh Syahrin Abdullah terpaksa bekerja keras sebelum meraih gelaran juara keseluruhan ARRC 2025 untuk kategori ASB1000.

Kejayaan itu dicapai dengan meraih tempat kedua dalam perlumbaan kedua kategori tersebut di Buriram, Thailand.

Selepas meraih kemenangan dalam perlumbaan pertama di Buriram pada 6 Disember lalu, pelumba JDT Racing Team itu kini menerajui kategori ASB1000 dengan 173 mata.

Hafizh berpeluang meraih kejuaraan sekiranya berjaya memenangi perlumbaan atau meraih kedudukan podium. Meskipun begitu, Nakarin Atiratphuvapat juga mengintai gelaran juara.

Ini kerana pelumba Thailand yang mewakili Honda Racing Thailand itu hanya ketinggalan lapan mata di belakang Hafizh. Nakarin berpeluang bergelar juara sekiranya memenangi perlumbaan dengan Hafizh berada di tempat ketiga atau lebih.

Perlumbaan kedua di Buriram menyaksikan semua pelumba berlumba mengikut kedudukan yang diraih dalam pusingan kelayakan. Hafizh memulakan perlumbaan di petak kelima.

Sebaik perlumbaan bermula, Nakarin segera memecut untuk menerajui perlumbaan. Hafizh pula berada di tempat kelima di belakang Zaqhwan Zaidi.

Selepas berjaya memintas pelumba Idemitsu Honda Racing Malaysia itu, bekas jaguh MotoGP itu kemudianya memintas pelumba SDG Harc-Pro Honda Philippines, Keito Abe.

Meskipun dipintas semula Zaqhwan, Hafizh memastikan gelaran juara dengan memotong bekas juara ASB1000 itu pada pusingan terakhir perlumbaan.

Ini memastikan beliau menamatkan kempen ASB1000 dengan 193 mata, tiga mata di hadapan Nakarin. Ini juga kejuaraan pertama JDT Racing Team dalam saingan ARRC.

Kejayaan ini turut menebus kekecewaan Hafizh selepas hanya meraih tempat ketiga keseluruhan pada musim 2024.