Hafizh Syahrin Abdullah bangkit daripada kekecewaan perlumbaan pertama ARRC 2025 apabila meraih kemenangan untuk kategori ASB1000.
Pelumba JDT Racing Team itu ditimpa malang apabila gagal menamatkan perlumbaan pertama ASB1000 di Motegi, Jepun. Ini selepas Hafizh terjatuh ketika cuba memburu kedudukan ke-11 perlumbaan.
Situasi ini menyebabkan beliau perlu meraih kemenangan dalam perlumbaan kedua jika ingin mengejar pendahulu pelumba keseluruhan, Azroy Hakeem Anuar.
Perlumbaan kedua bermula mengikut posisi yang diraih dalam pusingan kelayakan pada 12 Julai lalu.. Hafizh memulakan perlumbaan di petak pertama.
Sebaik perlumbaan bermula, beliau pantas ke hadapan untuk menerajui perlumbaan. Azroy Hakeem kemudiannya ditimpa malang apabila terjatuh ketika pusingan awal perlumbaan.
Pelumba Idemitsu Honda Racing Malaysia itu bangkit dan berada di kedudukan ke-17. Hafizh pula dicabar juara perlumbaan pertama ASB1000 dari Jepun, Keito Abe.
Pelumba SDG Harc-Pro Honda Philippines itu kemudiannya berjaya memintas pelumba Malaysia berusia 31 tahun itu.
Hafizh cuba merapatkan jurang dengan harapan dapat memintas pelumba Jepun itu. Pada akhirnya, bekas pelumba MotoGP itu berjaya memintas Abe untuk meraih kemenangan sulung musim 2025.
Pelumba Honda Racing Thailand, Nakarin Atiratphuvapat turut menebus kekecewaan perlumbaan pertama dengan meraih kedudukan ketiga.
Kemenangan ini dijangka membakar semangat Hafizh untuk tampil lebih cemerlang di Mandalika, Indonesia. Pusingan keempat ARRC 2025 akan berlangsung dari 29 hingga 31 Ogos ini.