Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah meraih podium kedua musim 2025 dalam perlumbaan terbaru Asia Road Racing Championship (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang.
Selepas membuka tirai musim dengan satu podium dan tempat kelima di Buriram, Thailand, kelebihan beraksi di Sepang mahu dimanfaatkan sepenuhnya untuk meraih kemenangan pertama musim ini.
Ini dibuktikan menerusi catatan masa kelayakan kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000) yang direkodkan Hafizh. Beliau meraih tempat kedua dengan catatan masa 2 minit (m) 4.758 saat (s).
Hafizh memulakan perlumbaan di belakang jaguh Thailand, Apiwath Wongthananon. Seorang lagi wakil negara, Azroy Hakeem Anuar menduduki tempat ketiga.
Sebaik perlumbaan bermula, Azroy Hakeem yang mewakili Idemitsu Honda Racing Malaysia memintas Hafizh. Beliau kemudiannya mula menghambat Apiwath untuk memburu gelaran pendahulu perlumbaan.
Pelumba Thailand itu kemudiannya bernasib malang apabila dipintas Azroy Hakeem dan tiga pelumba lain untuk meletakkan dirinya di tangga kelima.
Hafizh kemudiannya dicabar dua pelumba Honda, Zaqhwan Zaidi dan Andi Farid Izdihar untuk merebut kedudukan podium.
Meskipun diberi cabaran oleh kedua-dua pelumba itu, bekas jaguh MotoGP itu memastikan tempat kedua miliknya. Zaqhwan memastikan podium dikuasai pelumba Malaysia dengan menduduki tempat ketiga.
Keputusan ini menyaksikan Zaqhwan dan Hafizh masing-masing menghambat pendahulu keseluruhan ASB1000, Nakarin Atiratphuvapat dengan 56 dan 47 mata. Nakarin masih mendahului dengan kelebihan satu mata.
Hafizh dan Zaqhwan berpeluang merampas tampuk pendahulu ASB1000 menerusi perlumbaan kedua yang akan diadakan pada 1 Jun.