Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui gembira dengan prestasi jentera Ducati beliau menjelang pusingan keempat Asia Road Racing Championship (ARRC) 2025.
Saingan ARRC kali ini diteruskan di Litar Antarabangsa Mandalika, Indonesia dan berlangsung dari 29 hingga 31 Ogos ini.
Hafizh yang bersaing dalam kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000) mengakui cukup berpuas hati dengan jentera beliau.
Ini kerana jentera Ducati yang ditunggangnya bukan saja merekodkan catatan masa yang baik dalam setiap sesi latihan perlumbaan.
Malah, ini turut membantu Hafizh melengkapkan simulasi perlumbaan yang akan berlangsung pada 30 dan 31 Ogos ini. Ini memberi keyakinan kepada bekas jaguh MotoGP itu untuk melakar keputusan baik di Mandalika.
“Terima kasih kepada pasukan, pakej (jentera) yang saya tunggang hari ini rasa sangat bagus,” katanya.
“Ahir sekali, sekarang, kita akan fokus kepada persiapan kelayakan dan perlumbaan satu (ASB1000).”
Sesi latihan ketiga ASB1000 menyaksikan Hafizh merekodkan catatan kedua terpantas iaitu satu minit (m) 35.618 saat (s).
Beliau berharap prestasi ini dapat diterjemah kepada kemenangan atau pencapaian podium. Ini kerana ini dapat membantu Hafizh mengurangkan jurang mata dengan pendahulu keseluruhan ASB1000, Keito Abe.
Abe mendahului dengan kutipan 101 mata, sembilan mata di hadapan beliau.