Bekas bintang Chelsea, Hakim Ziyech sah menyertai kelab gergasi Maghribi, Wydad Casablanca menerusi perpindahan percuma.
Perpindahan pemain sayap berusia 32 tahun itu diumumkan kelab tersebut di platform rasmi mereka. “Dunia menanti. Sang Ahli Silap Mata sudah tiba,” kata Wydad Casablanca dalam satu kenyataan.
Perpindahan ini sekaligus mengakhiri pencarian kelab Ziyech selepas meninggalkan kelab Qatar, Al-Duhail pada Mei lalu.
Perpindahan ini bukan saja membantu bekas bintang Ajax Amsterdam itu mendapatkan minit permainan yang kerap agar dapat kembali beraksi bersama Maghribi.
Malah, penyokong Wydad turut menyokong pendirian teguh Ziyech yang menyokong perjuangan rakyat Palestin. Bukan sekali bekas bintang The Blues itu mengecam kekejaman rejim Israel di media.
Malah, Ziyech turut membawa bendera Palestin ketika meraikan kejayaan Galatasaray bergelar juara liga Turkiye.
Beliau juga menjadi sebahagian daripada 46 atlet profesional yang menggesa UEFA agar mengusir Israel dari badan induk tersebut.