Tan Sri Haji Hamidin Mohd Amin kembali memegang jawatan dalam tampuk pemerintahan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaku Presiden Kehormat.
Perkara ini disahkan dalam satu sesi Kongres Luar Biasa FAM yang diadakan di sebuah hotel di Subang yang menyaksikan Tan Sri Hamidin kembali memegang jawatan di dalam badan induk tersebut.
”Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bersidang pada Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2025 pada Isnin, 30 Jun 2025 telah meluluskan pelantikan mantan Presiden FAM, Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin sebagai Presiden Kehormat FAM,” umum badan induk itu.
Pelantikan Tan Sri Hamidin selaku Presiden Kehormat FAM ini dilakukan atas dasar kredibiliti, pengalaman serta jasa beliau kepada pembangunan bola sepak di pelbagai peringkat sejak lebih 30 tahun lalu.
Malah, penganugerahan gelaran ini turut sah di sisi undang-undang berdasarkan Artikel 22 Statut FAM yang memberikan kuasa kepada Kongres FAM untuk menganugerahkan gelaran buat mana-mana individu yang banyak menyumbang kepada pembangunan bola sepak.
Gelaran untuk Tan Sri Hamidin diberikan atas penamaan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM malah beliau hanya dibenarkan menghadiri Kongres FAM dan menyertai perbahasan, namun tidak mempunyai hak untuk mengundi.
Sebelum ini, Kongres FAM pernah menganugerahkan gelaran Presiden Kehormat kepada Al-Marhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah pada tahun 2014 lalu.
Ini sebagai tanda penghormatan kepada Baginda yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi sebagai Presiden FAM selama 3 dekad dari tahun 1984 hingga 2014 khusus dalam memperkukuh institusi bola sepak tanah air.