Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Haji Hamidin Haji Mohd Amin dilaporkan sudah berada di ibu pejabat FIFA di Zurich, Switzerland.
Khabar terbaru ini dikongsikan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam. Hamidin yang juga Ahli Majlis FIFA difahamkan tiba untuk menghadiri mesyuarat majlis badan induk itu.
Kehadiran beliau juga sekaligus membawa rayuan FAM berhubung kes badan induk itu dan tujuh pemain warisan negara yang dihukum FIFA baru-baru ini.
“Presiden Kehormat FAM Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang juga ahli Majlis FIFA difahamkan sudah berada di ibu pejabat FIFA di Zurich untuk mesyuarat sekaligus mengemukakan rayuan kes pemain warisan,” katanya di X.
Terdahulu, FAM dan tujuh pemain warisan negara dihukum FIFA atas dakwaan isu dokumentasi palsu.
Tujuh pemain tersebut ialah Gabriel Palmero, Hector Hevel, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Facundo Garces.
FAM dan tujuh pemain tersebut masing-masing dikenakan denda CHF350,000 (RM1.85 juta) dan CHF2,000 (RM10,570). Tujuh pemain sama turut digantung daripada aktiviti bola sepak selama 12 bulan.