Hamidin Terima Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan SAM-100PLUS
MakanBola
FA Malaysia

Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan Sukan SAM-100PLUS.

Pemilihan Ahli Majlis FIFA itu dibuat atas jasanya yang besar kepada bola sepak Malaysia dalam tempoh tiga dekad.

Segalanya bermula pada tahun 1995 apabila beliau dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Tiga tahun selepas itu, Hamidin menggalas peranan sebagai Setiausaha Agung FAS. Dari 1998 hingga 2013, beliau membantu Selangor meraih 18 trofi termasuk lima trofi Piala Malaysia.

Hamidin kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM selama lima tahun. Setelah itu, beliau dipilih sebagai Presiden FAM pada 2018.

Antara kejayaan skuad negara sepanjang tempoh beliau bergelar Presiden FAM ialah layak ke Piala Asia secara merit buat kali pertama dalam tempoh 43 tahun.

Hamidin juga pernah menggalas peranan sebagai Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM). Beliau turut mencipta sejarah sebagai Presiden FAM pertama dilantik sebagai Chef de Mission untuk Sukan Olimpik 2024.

Selaku penerima anugerah, Hamidin menerima trofi daripada Presiden SAM, Norismadi Abd Manap.