Kemeriahan menjelang aksi final Piala FA antara Sabah FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 14 Disember ini semakin hangat.
Ini selepas pengurusan Sabah memaklumkan 3,822 tiket final edisi 2025 itu sudah dijual setakat ini. “Sebanyak 3,822 tiket telah terjual setakat ini!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sehubungan dengan itu, pengurusan Sang Badak menggesa penyokong yang masih belum mendapatkan tiket agar segera mendapatkannya.
Ini kerana ini kali pertama Sabah layak ke final Piala FA sejak edisi 1998. Pasukan itu juga berpeluang mengakhiri kemarau trofi kejohanan itu selama 30 tahun.
Kali terakhir Sabah bergelar juara Piala FA ialah edisi 1995. Sabah menewaskan Pahang di pentas final ketika itu yang diadakan di Stadium Merdeka.
Kejayaan itu turut membuka jalan kepada Sabah bersaing di peringkat Asia menerusi saingan Asian Cup Winner Cup sekitar 1995/1996.
Penyokong yang masih belum mendapatkan tiket aksi final edisi 2025 boleh mendapatkannya di platform Ticket Hotline.