Hannah Yeoh: Hadiah Merdeka Paling Istimewa
UltraSukan
MSN Malaysia

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menganggap pencapaian juara dunia yang dilakar Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei sebagai hadiah Hari Kebangsaan paling istimewa.

Hal ini dinyatakan beliau selepas menerima berita kejayaan beregu campuran nombor empat dunia itu di pentas final BWF World Championships.

“Pemain badminton (program) Road to Gold (RTG) Chen Tang Jie-Toh Wei ialah juara dunia beregu campuran yang baharu dari Malaysia!

“Pingat emas pada Hari Merdeka ini bukan saja paling istimewa, ia akan selama-lamanya terukir antara pencapaian terhebat dunia sukan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tang Jie-Ee Wei muncul juara dunia selepas menewaskan beregu nombor dua dunia dari China, Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin.

Mereka meraih kemenangan dengan keputusan 21-15, 21-14. Kejayaan ini turut menyaksikan Tang Jie-Ee Wei meraih kemenangan ke atas beregu China itu buat kali pertama sejak Orleans Masters 2023.

Beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah berpeluang mengikut jejak mereka bergelar juara dunia.

Beregu nombor dua dunia itu dijadual menentang beregu nombor satu dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning dalam aksi final beregu wanita.