Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) segera membuat penambahbaikan kepada proses dokumentasi mereka.
Gesaan itu dibuat beliau susulan pendedahan sebab hukuman yang dijatuhkan FIFA kepada badan induk itu dan tujuh pemain negara pada malam 6 Oktober lalu.
Hannah memaklumkan meskipun FAM sudah membuat penjelasan berhubung perkara itu, proses penambahbaikan dokumen perlu dilaksanakan segera oleh badan induk itu.
Ini kerana semua kenyataan yang dibangkitkan FIFA dalam dokumen sebanyak 19 muka surat itu merupakan satu kenyataan yang serius dan mencalarkan imej Malaysia.
“Selepas proses rayuan ini, perlu ada penambahbaikan. Walaupun FAM telah keluarkan kenyataan mereka ada kesilapan teknikal oleh staf mereka, semua itu perlukan penambahbaikan.
“Kerana kenyataan-kenyataan daripada 19 muka surat itu ialah kenyataan-kenyataan FIFA yang serius yang menjejaskan imej negara,” katanya seperti dilaporkan Nadi Arena.
Hannah ditemui media selepas menyambut ketibaan pasukan Para Olahraga Negara dari Kejohanan Dunia 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.