Hanoi Police Sambar Dua Pemain Warisan Vietnam
MakanBola
CAHN FC

Kelab gergasi Vietnam, Hanoi Police FC terus memperkukuh barisan pemain mereka apabila menyambar dua lagi pemain warisan Vietnam bagi mengharungi musim baharu Liga Vietnam 1.

Dua pemain yang dimaksudkan ialah Leygley Adou Minh dan Brandon Ly. Langkah ini dilihat sebagai usaha berterusan kelab tersebut dalam memperluaskan pencarian bakat yang mempunyai pertalian darah Vietnam, satu strategi yang telah membuahkan hasil dalam beberapa musim kebelakangan ini.

Leygley Adou Minh merupakan pemain yang dilahirkan pada 1997 yang mempunyai latar belakang pelbagai budaya di mana bapanya berasal dari Perancis dan berketurunan Ivory Coast, manakala ibunya pula rakyat Vietnam.

Berketinggian 1.80 meter, Adou Minh adalah pemain serba boleh yang boleh bermain sebagai pertahanan mahupun penyerang apabila diperlukan, menjadikannya aset taktikal yang berguna buat Hanoi Police.

Adou Minh memulakan karier bola sepaknya di Perancis bersama kelab Grenoble (2015–2017), kemudian menyertai Annecy (2017–2020) dan Racing Besançon (2020–2024). Pada Ogos 2024, beliau menyertai kelab Ha Tinh di Liga Vietnam dan kini melangkah setapak lagi dengan menyertai Hanoi Police.

Sementara itu, Brandon Ly merupakan pemain muda yang mencuri perhatian. Dilahirkan pada tahun 2005, Brandon memiliki darah kacukan hasil perkahwinan bapanya yang merupakan warga Vietnam dan ibunya dari Republik Ireland. Beliau mendapat pendedahan awal bola sepak dalam persekitaran profesional di England.

Kehadiran Adou Minh dan Brandon Ly melengkapkan senarai pemain warisan yang sedia ada dalam skuad Hanoi Police seperti penjaga gol Filip Nguyen dan pertahanan kiri Cao Pendant Quang Vinh. Kedua-dua pemain tersebut juga berketurunan campuran dan sudah mempunyai penampilan bersama skuad kebangsaan Vietnam.

Hanoi Police kini dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman, Mano Polking. Pengendali kelahiran Brazil-Jerman itu bukanlah nama asing dalam bola sepak Asia Tenggara selepas meraih pelbagai kejuaraan bersama skuad kebangsaan Thailand, termasuk kejayaan di Piala AFF.

Dalam aspek perancangan taktikal, Adou Minh dijangka menjadi pemain fleksibel yang mampu memberikan kekuatan fizikal di barisan pertahanan dan menjadi pilihan ketika situasi memerlukan kehadiran fizikal di kawasan serangan. Brandon Ly pula dilihat sebagai pelaburan jangka panjang, dengan potensi untuk berkembang menjadi pemain utama dalam tempoh beberapa musim akan datang.

Usaha ini selari dengan pendekatan Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) yang menggalakkan lebih ramai pemain warisan kembali ke tanah air untuk mengukuhkan kualiti liga dan skuad kebangsaan. Melihat kepada profil dan latar belakang Adou Minh dan Brandon Ly, tidak mustahil kedua-duanya bakal menyarung jersi Vietnam satu hari nanti.