Harimau Malaya bakal mengadakan kem latihan di Kuala Lumpur dalam kalendar antarabangsa FIFA pada September ini.
Keputusan ini dibuat susulan penarikan diri Harimau Malaya daripada saingan CAFA Nations Cup yang akan berlangsung pada penghujung Ogos ini.
Antara faktor yang mendorong kepada penarikan diri Harimau Malaya ialah isu pelepasan pemain, isu logistik dan keperluan pemulihan pemain.
Pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski melihat langkah ini sebagai langkah terbaik membantu persiapan Harimau Malaya menghadapi kelayakan Piala Asia 2027.
“Ini adalah satu keputusan yang tepat dan strategik. Fokus kami kini beralih sepenuhnya kepada kem latihan pada jendela September sebagai persiapan terbaik menjelang aksi penting pada Oktober dan November, perlawanan menentang Laos dan Nepal,” katanya.
Penarikan diri Harimau Malaya berpotensi membuka peluang kepada aksi persahabatan antarabangsa membabitkan pasukan itu di Kuala Lumpur pada September ini.