Skuad Harimau Malaya terpaksa melupakan khidmat dua bek tengah menjelang aksi persahabatan berdepan Palestin pada Isnin hadapan.
Ketika ini, moral pasukan kebangsaan berada di tahap terbaik setelah berjaya merekodkan kemenangan 2-1 menumpaskan Singapura hasil jaringan Stuart Wilkin dan Joao Figueiredo.
Momentum ini pastinya ingin diteruskan oleh anak-anak buah Peter Cklamovski pada aksi persahabatan kedua menentang Palestin yang dijadualkan berlangsung pada Isnin hadapan.
Walau bagaimanapun, Harimau Malaya terpaksa melupakan khidmat dua pertahanan kental, Facundo Garces serta Dion Cools yang akan kembali ke pangkuan kelab masing-masing.
Menurut laporan Zulhelmi Zainal Azam, Garces akan pulang ke Sepanyol bagi persiapan menghadapi aksi LaLiga begitu juga dengan Cools yang akan segera kembali ke pangkuan Cerezo Osaka.
Kehilangan dua tonggak penting ini bagaimanapun dijangka tidak akan mengganggu persiapan pasukan negara dengan beberapa pemain lain juga mampu untuk menggalas tugas ini.
Antara pertahanan yang berada di dalam skuad adalah Harith Haiqal, Dominic Tan serta Shahrul Saad yang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Garces dan juga Cools di posisi penting ini.
Aksi Malaysia vs Palestin akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin, 4 September ini dengan sepak mula tepat jam 9 malam waktu tempatan.