Seramai 29 pemain dipanggil pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski untuk kem latihan pusat menjelang dua aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos.
Seperti dijangka, pengendali Australia itu tidak memanggil tujuh pemain warisan negara dalam kem kali ini. Ini kerana status mereka hanya akan diketahui selepas FIFA selesai mendengar rayuan FAM.
Kem kali ini menyaksikan Jordan Mintah berpeluang membuat penampilan pertama bersama Harimau Malaya. Ini selepas proses naturalisasi penyerang Kuching City FC itu telah dimuktamadkan pada Ogos lalu.
Selain Mintah, rakan sepasukan, Ramadhan Saifullah juga berpeluang membuat kemunculan pertama bersama Harimau Malaya. Prestasi baiknya bersama The Cats menyaksikan namanya terpilih dalam kem kali ini.
Cklamovski turut memanggil beberapa nama yang sudah lama tidak membuat penampilan bersama skuad negara. Antaranya Declan Lambert dan Junior Eldstal.
Declan kembali terpilih selepas kali terakhir mewakili Harimau Malaya dalam saingan ASEAN Championship 2024. Junior pula berpeluang membuat penampilan buat kali pertama sejak Piala Asia 2023.
13 pemain diletakkan dalam senarai bersedia termasuk pemain tengah St. Louis City 2, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal.
Skuad negara akan bertolak ke Laos untuk kem latihan pusat dari 6 hingga 8 Oktober. Ini sebagai persediaan menentang Laos pada 9 Oktober.
Kem kemudiannya akan disambung di Kuala Lumpur dari 10 hingga 13 Oktober. Ini sebagai persediaan aksi timbal balik menentang Laos pada 14 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).