Pemain pertahanan Raith Rovers, Richard Chin dipanggil menyertai kem Harimau Malaya untuk dua aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos.
Ini selepas nama Richard tersenarai dalam senarai 29 pemain yang dipanggil pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski. Perkara ini turut disahkan The Rovers dalam satu kenyataan.
“Panggilan disahkan. Richard Chin telah dinamakan dalam skuad Malaysia untuk aksi kelayakan Piala Asia pada 9 dan 14 Oktober ini. Semoga berjaya, Chinny!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Richard antara empat pemain yang berpangkalan di luar negara yang dipanggil Cklamovski untuk kem kali ini.
Selain beliau, bekas jurulatih FC Tokyo itu turut memanggil Dion Cools (Cerezo Osaka), Endrick dos Santos (Cong An Ho Chi Minh City) dan Sergio Aguero (Kanchanaburi Power).
Selepas meraih penampilan pertamanya ketika menentang Palestin pada 8 September lalu, Richard terus berusaha menunjukkan prestasi baik bersama Raith Rovers.
Ini termasuk penampilan pertama dalam kesebelasan utama ketika menentang Arbroath baru-baru ini. Richard turut menyumbat gol sulungnya dalam perlawanan sama.