Harry Kewell Antara 15 Calon Jurulatih Baharu Singapura
MakanBola
AFC

Legenda Liverpool, Harry Kewell antara 15 calon yang dipertimbang pengurusan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sebagai pengganti Tsutomu Ogura.

FAS mula mencari jurulatih baharu buat kali keempat dalam tempoh enam tahun. Ini selepas jurulatih Jepun itu mengundur diri atas alasan peribadi pada Jun lalu.

Susulan itu, The Straits Times melaporkan FAS telah menerima permohonan 60 orang jurulatih yang berminat menggalas peranan sebagai jurulatih The Lions.

Senarai tersebut kemudiannya dipendekkan kepada 15 calon untuk sesi temu duga. Antara nama yang dilaporkan tersenarai ialah Kewell.

Bekas pemain sayap Australia itu cukup dikenali kerana pernah mewakili beberapa kelab gergasi Eropah. Selain Liverpool, Kewell juga pernah beraksi untuk Leeds United dan Galatasaray.

Antara pencapaian terbaik beliau sebagai pemain ialah meraih trofi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dan The Emirates FA Cup.

Selepas bersara, Kewell pernah melatih beberapa kelab seperti Notts County, Oldham Athletic, Crawley Town dan Yokohama F. Marinos. Semasa bersama kelab J1 League itu, beliau membawa Marinos mara ke final Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Sekiranya Kewell dipilih FAS sebagai pengganti Ogura, beliau bakal menjadi anak murid terbaru Ange Postecoglou yang bergelar jurulatih di Asia Tenggara. Ini kerana Kewell pernah menjadi pembantu beliau semasa melatih Celtic pada musim 2022/23.

Kewell turut berpeluang beradu dengan rakan senegara, Peter Cklamovski sekiranya dipilih membimbing Singapura. Ini kerana Malaysia dan Singapura bakal berentap dalam aksi persahabatan pada 4 September ini.

Meskipun begitu, Kewell perlu berdepan saingan calon lain untuk kerusi panas itu. Selain beliau, FAS dikatakan turut menimbang nama Fabio Cannavaro, Mano Polking, Jesus Casas dan Nick Montgomery.