Hasrat para peminat untuk melihat trio baharu Harimau Malaya kini tertangguh.
Skuad kendalian Peter Cklamovski menerusi Malaysia NT mengumumkan senarai 29 pemain yang bakal menggalas cabaran negara menjelang aksi persahabatan Tier 1 menentang Singapura dan juga Palestin.
Pasukan kebangsaan mempertaruhkan barisan terbaik dengan nama-nama seperti Rodrigo Holgado, Facundo Garces, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Dion Cools terus menjadi sandaran pasukan.
Persiapan Malaysia menuju dua aksi penting itu bagaimanapun dimulakan dengan khabar ketiadaan tonggak warisan kelapan negara, Nacho Mendez atas faktor persediaan fizikal yang menyebabkan beliau terlepas panggilan kali ini.
Berita itu disusuli dengan satu lagi perkembangan selepas tonggak tengah negara, Hector Hevel terpaksa diketepikan susulan mengalami kecederaan.
Oleh yang demikian, hasrat para peminat untuk melihat gandingan trio baharu Mendez-Hevel-Nooa tidak kesampaian dengan Hong Wan menjadi pengganti Hevel dalam pasukan.
Mendez telah disahkan menjadi pemain warisan terbaru Malaysia oleh Cklamovski namun dijangka bakal menyertai skuad kebangsaan pada Oktober.
Malaysia bagaimanapun masih memiliki nama-nama seperti Endrick, Aguero, Nazmi Faiz dan Stuart Wilkin yang mampu menggalas tugas bagi aksi berdepan Singapura dan Palestin.
Harimau Malaya bakal membuka langkah berdepan Singapura pada 4 September di Stadium Nasional, Bukit Jalil jam 9.00 malam sebelum berdepan Palestin yang menghuni tangga ke-98 dunia di Stadium Sultan Ibrahim pada 8 September jam 9.00 malam.