Hasrat peminat untuk melihat Malaysia menentang pasukan Ke-20 dunia tidak kesampaian.
Skuad kendalian Peter Cklamovski pada awalnya dijadualkan untuk beraksi di CAFA Nations Cup 2025 yang bakal berlangsung pada akhir Ogos ini.
Pasukan kebangsaan diundi dalam Kumpulan B bersama Tajikistan, Iran dan Afghanistan namun Harimau Malaya terpaksa menarik diri saat akhir.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyatan menyebut bahawa Harimau Malaya tidak dapat mengelak untuk menarik diri dari kejohanan tersebut.
“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin memaklumkan bahawa skuad kebangsaan Malaysia tidak akan menyertai Piala Negara-Negara CAFA 2025.
“Tarikh baharu kejohanan yang dikemas kini selepas undian rasmi dilakukan, iaitu dari 29 Ogos hingga 8 September, kini bermula di luar kalendar rasmi FIFA.
“Perubahan tarikh yang berlaku pada saat akhir ini memberikan cabaran segala aspek kepada skuad kebangsaan, memandangkan kelab-kelab tidak mempunyai kewajipan untuk melepaskan pemain mereka,” ujar FAM dalam satu kenyataan.
Cklamovski turut tampil memberikan kenyatan berhubung keputusan skuad bimbingannya untuk menarik diri daripada kejohanan kali ini sekali gus menyebabkan hasrat bertemu pasukan ke-20 dunia tak kesampaian.
“Kita memiliki pemain yang beraksi di liga terkemuka dunia seperti Sepanyol, Argentina, Colombia & Jepun. Untuk membawa mereka ke Tajikistan dalam masa yang singkat serta memastikan mereka bersedia beraksi pada tahap tertinggi adalah tidak realistik dalam jendela ini.
“Selain itu, isu logistik, keperluan pemulihan pemain, serta implikasi terhadap bajet keseluruhan turut menjadi faktor penting. Saya tidak mahu menjejaskan kebajikan serta kondisi pemain atau menyertai kejohanan dengan skuad yang tidak lengkap,” katanya dalam satu kenyataan.