Hein Htet Aung Kembali Ke Myanmar
MakanBola
Yangon United FC

Bekas pemain sayap Negeri Sembilan FC, Hein Htet Aung memilih kembali ke Myanmar selepas berkelana di Malaysia selama empat tahun.

Ini selepas kelab Yangon United mengumumkan perpindahan pemain sayap berusia 23 tahun itu di platform rasmi mereka.

Perpindahan ini turut menamatkan spekulasi yang mengaitkan Htet Aung dengan kelab Pantai Timur, Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC).

“Kami sukacita mengumumkan perpindahan pemain sayap kanan, Hein Htet Aung dengan kontrak selama setahun.

“Beliau akan menjadi sebahagian daripada proses pengukuhan pasukan untuk Myanmar National League 2025/26 dan AFC Challenge League,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Selepas memuktamadkan perpindahan itu, Htet Aung sudah tidak sabar untuk membantu Yangon United tampil cemerlang untuk musim 2025/26.

“Pertama sekali, saya gembira menyertai Yangon United. Saya anggap ini satu penghormatan kerana dialu-alukan oleh presiden kelab.

“Saya akan berikan yang terbaik untuk membantu Yangon United memenangi trofi bersama rakan-rakan sepasukan saya,” katanya.

Htet Aung kembali ke Myanmar selepas kontraknya bersama Selangor FC tidak disambung pada akhir musim 2024/25. Musim itu menyaksikan beliau beraksi secara pinjaman bersama Sang Rusa.

Sepanjang berada di Malaysia, Htet Aung merekodkan 91 penampilan, 10 gol dan 17 bantuan gol untuk Selangor dan Negeri Sembilan.

Beliau menjadi bekas pemain import Selangor terbaru yang mendapat kelab selepas meninggalkan kelab Lembah Klang itu. Sebelum ini, Ronnie Fernandez melengkapkan perpindahan ke kelab CD Palestino.