Hasrat Pearly Tan M. Thinaah untuk mempertahankan gelaran juara Hong Kong Open yang dimenangi pada 2024 tidak kesampaian.
Perjuangan beregu wanita nombor dua dunia itu terhenti di peringkat separuh akhir. Pearly-Thinaah terpaksa akur dengan kehebatan wakil China, Jia Yi Fan dan Zhang Shu Xian.
Selepas berjaya mara ke final BWF World Championships, wakil negara berharap dapat meneruskan momentum cemerlang di Hong Kong.
Meskipun begitu, Pearly-Thinaah perlu mengatasi rekod buruk mereka dengan Yi Fan dan Shu Xian. Ini kerana beregu keempat dunia itu sudah menewaskan mereka dalam empat pertemuan sebelumnya.
Set pertama menyaksikan pada awalnya, Pearly-Thinaah mendahului pada kedudukan 12-10. Walau bagaimanapun, Yi Fan-Shu Xian bangkit sebelum meraih kemenangan 21-14.
Set kedua menyaksikan wakil China itu makin dominan di mana satu ketika, mereka mendahului pada kedudukan 10-2.
Pearly-Thinaah cuba mengurangkan defisit pada kedudukan 17-11. Walau bagaimanapun, Yi Fan-Shu Xian lebih unggul sebelum meraih kemenangan 21-11.
Wakil China itu akan menentang sama ada pilihan keempat kejohanan dari Jepun, Rie Iwanaga-Kie Nakanishi atau beregu ke-67 dunia, Rui Hirokami-Sayaka Hobara di peringkat akhir.