Hormati Rakan Muslim, Kapten Australia Halang Keraian Arak
UltraSukan
ICC

Seorang kapten skuad kriket Australia memilih menghalang keraian arak bagi membolehkan rakan sepasukan Muslim meraikan kejayaan The Ashes 2022.

Video keprihatinan kapten Australia, Pat Cummins buat rakan dan pemain kriket terkenal, Usman Khawaja kembali menjadi bualan di media sosial.

Selepas berjaya menewaskan England dengan keputusan 4-0 (lima siri kemenangan) untuk gelaran The Ashes, normal bagi pasukan pemenang diraikan dengan semburan arak.

Sebaik menyedari perkara itu berlaku, Usman memilih mengelak daripada terkena semburan arak dan meninggalkan pentas.

Cummins menyedari tindakan yang dibuat pemain berdarah Pakistan berusia 38 tahun itu. Lantas, beliau meminta semburan arak dihentikan dan mengajak Usman kembali ke pentas.

Setelah itu, barulah pemain yang mewakili Brisbane Heat itu menyertai barisan pemain Australia lain untuk meraikan kemenangan mereka. Tindakan Cummins menarik perhatian media termasuk ABC Australia.

Ini bukan kali pertama Cummins memberi sokongan kepada Usman sepanjang beraksi dalam pasukan kriket Australia.

Pada Disember 2023, Cummins memberi sokongan kepada Usman selepas ICC enggan membenarkan beliau menzahirkan sokongan kepada rakyat Palestin.

Susulan itu, pemain berusia 32 tahun itu memaklumkan beliau menyokong tindakan yang dibuat Usman. Ini kerana tindakan yang dibuat pemain kelahiran Islamabad itu tidak sepatutnya dianggap bertentangan dengan peraturan badan induk itu.

Selain Cummins, legenda kriket terkenal, Michael Holding turut menyatakan sokongan kepada Usman. Holding yang dilabel antara pembaling bola terhebat dalam sejarah kriket melabel tindakan ICC itu sebagai hipokrasi.