Hylo Open: Misi Final Wei Chong-Kai Wun Disekat Wakil Indonesia
UltraSukan
BA Malaysia

Beregu lelaki ketiga Malaysia, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun gagal mengesahkan kemaraan ke final Hylo Open 2025.

Wei Chong-Kai Wun yang juga pilihan ketiga kejohanan tewas kepada wakil Indonesia, Sabar Karyaman Gutawan dan Moh Reza Pahlevi Isfahani.

Selepas berjaya mengalahkan dua wakil Indonesia, beregu kelima dunia itu ingin menjadikan Sabar-Reza sebagai mangsa mereka yang seterusnya.

Meskipun begitu, beregu ke-11 dunia itu memiliki rekod baik dari segi rekod pertemuan. Ini kerana Sabar-Reza pernah mengalahkan Wei Chong-Kai Wun sebanyak dua kali daripada tiga perlawanan.

Set pertama menyaksikan beberapa kesilapan mudah yang dilakukan beregu kelima dunia itu membolehkan beregu Indonesia mendahului 11-2.

Wei Chong-Kai Wun berjaya mengurangkan jurang mata kepada 19-15. Walau bagaimanapun, itu tidak cukup menghalang Sabar-Reza meraih kemenangan set pertama dengan keputusan 21-16.

Set kedua menyaksikan kedua-dua beregu terikat pada kedudukan 12-12. Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan beregu negara membolehkan Sabar-Reza menguasai set kedua dengan keputusan 21-15.

Sabar-Reza akan bertemu wakil Chinese Taipei, Chiu Hsiang Chieh dan Wang Chi-Lin di peringkat final. Hsiang Chieh-Chi-Lin mara selepas menyingkirkan rakan senegara, Lee Jhe-huei dan Yang Po-hsuan.