Bekas penjaga gawang Malaysia, Izham Tarmizi melihat idea menubuhkan semula pasukan Harimau Muda bagaikan satu perkara yang wajar ketika ini.
Perkara ini menjadi topik hangat dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan ketika ini susulan perjuangan Malaysia berakhir di peringkat kumpulan Piala Mandiri ASEAN B-23 baru-baru ini.
Izham yang juga bekas penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) mengimbau kembali momen bersama Harimau Muda sekitar tahun 2011 ke 2014 yang banyak beraksi secara kompetitif di Slovakia, Singapura dan Malaysia.
”Saya rasa zaman saya dahulu ada pasukan Harimau Muda. Kita (pemain-pemain) ada banyak masa bersama di Slovakia, Liga Super, Liga Singapura,” kata Izham.
”Mungkin sekarang ini, tak cukup waktu saya rasa. Mungkin perkara ini kena semak dahulu.”
”Tetapi apa yang dibuat sekarang ini, saya rasa kita cuma ikut dan tunggu keputusan.”
Ketika ditanya mengenai idea menubuhkan semula Harimau Muda, Izham menyokong usul tersebut dan melihat pasukan itu sebagai satu platform untuk mengumpulkan bakat-bakat muda tempatan.
”Saya sokong apa yang FAM lakukan dahulu dengan Harimau Muda, ini pendapat saya tapi kalau pendapat orang lain, saya tak boleh halang.”
”Sebab kita bercakap tentang berkumpulnya pemain-pemain (muda), jadi di situ kita boleh tahu cara (permainan masing-masing dan macam mana sesuatu pasukan itu (beraksi).”
“Mungkin boleh ditambah dengan beberapa orang sahaja pemain dari luar,” jelas Izham kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Harimau Muda pernah membuat kemunculan dalam saingan Liga Perdana sehingga muncul sebagai juara di musim 2009 dan melahirkan ramai pemain-pemain hebat seperti Khairul Fahmi Che Mat, Fadhli Shas, Wan Zack dan ramai lagi.