Ifwat Akmal Che Kassim bakal melengkapkan perpindahan ke PDRM bagi saingan Liga Super musim 2025-2026.
Menurut wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, PDRM telah mengikat dua pemain berpengalaman di Liga Malaysia iaitu Ifwat Akmal dan Irfan Fazail bagi mengharungi saingan pada musim 2025-2026.
“Mereka membelanja mengikut kemampuan mereka dan ini boleh disahkan pemain terbaharu skuad PDRM, Ifwat Akmal Che Kassim dan Irfan Fazail”. – Kata Fadhirul ketika rancangan redOne Mobile Keluar Masuk di saluran youtube Astro Arena.
Pemain kelahiran Kedah tersebut memiliki pengalaman yang luas di dalam saingan Liga Malaysia apabila memulakan karier bolasepak bersama-sama skuad muda Hijau Kuning itu.
Ifwat yang bermain di posisi penjaga gol semestinya bakal merebut tempat benteng terakhir tersebut dengan beberapa penjaga gol yang lain bagi mendapatkan perhatian Peter Cklamovski untuk panggilan skuad Kebangsaan Malaysia.
Untuk makluman, buat kali pertama Ifwat berpindah ke kelab lain selepas Kedah kerana mengalami musim yang sukar pada 2024/2025.
Ifwat Akmal merekodkan 2 penampilan bersama skuad Harimau Malaya pada tahun 2016 ketika berusia 19 tahun dengan menentang pasukan Indonesia bagi perlawanan persahabatan.
Pada tahun 2017 merupakan tahun paling gemilang buat Ifwat kerana berjaya meraih gelaran Anugerah Penjaga Gol Terbaik Liga Malaysia.
Dia turut memenangi beberapa Piala ketika bersama skuad Kedah iaitu Piala FA Malaysia 2017 & 2019, Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017. Ini menunjukkan kualiti yang ada pada Ifwat Akmal tidak dapat disangkal lagi.
Bagi musim 2025-2026 PDRM bakal menggunakan ramai pemain yang berstatus anggota polis untuk aksi Liga Super.
PDRM bakal membuka perlawanan Liga Super dengan menentang Brunei DPMM di Selayang manakala Terengganu bagi aksi kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.