Jawatankuasa bebas (IIC) yang dilantik oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gagal mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam memalsukan dokumen 7 pemain warisan Harimau Malaya.
Pada 27 Oktober lalu, FAM mengumumkan pelantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, sebagai pengerusi jawatankuasa bebas (IIC) bagi menyiasat isu dokumentasi 7 pemain warisan Harimau Malaya.
Selepas siasatan dibuat, satu laporan rasmi telah dikeluarkan oleh IIC dan diserahkan kepada FAM yang mendapati bahawa pihak yang memalsukan dokumen 7 pemain ini tidak dapat ditentukan dan dikesan.
Perkara ini berlaku selepas Notari Awam bagi kes ini bernama Lee Jin Jae tidak memberikan kerjasama serta ejen 7 pemain tersebut turut gagal untuk dihubungi meski dengan pelbagai cara.
“IIC tidak dapat menentukan secara muktamad pihak yang memalsukan dokumen-dokumen yang dipertikaikan,” simpul IIC di akhir laporan.
“Keadaan ini berlaku kerana Notari Awam yang mengesahkan dokumen tersebut tidak memberikan kerjasama, manakala ejen kepada 7 pemain berkenaan pula gagal dikesan walaupun pelbagai usaha munasabah telah dilakukan.”
“Apa yang jelas, kegagalan serius dari segi pengawasan, ketekunan wajar (due diligence) serta kawalan pentadbiran dalam pengurusan FAM telah membolehkan insiden ini berlaku tanpa dikesan atau dicegah.”
Pihak IIC turut menasihati FAM supaya segera membuat satu laporan polis dalam usaha untuk mengelakkan kejadian sama berulang dan juga mengesyorkan pelaksanaan pembaharuan struktur.
“FAM dinasihatkan supaya segera melakukan laporan polis, mengambil tindakan tatatertib dalaman yang bersesuaian di mana kegagalan pengawasan dikenal pasti, serta melaksanakan pembaharuan struktur sebagaimana yang disyorkan oleh IIC.”
“Langkah-langkah ini amat penting bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang serta memulihkan kredibiliti dan integriti operasi FAM.
IIC berpendapat bahawa laporan yang dikeluarkan ini perlu dikongsikan kepada umum oleh kerana kes FIFA, FAM dan juga 7 pemain warisan ini melibatkan kepentingan awam.