Pemain tengah kelahiran Sepanyol, Iker Undabarrena sah mengucapkan selamat tinggal kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menerusi hantaran di laman Instagram, Iker Undabarrena mengumumkan tempoh beliau di JDT kini sudah pun tiba ke penghujungnya selepas setahun menabur bakti bersama kelab selatan tanah air itu.
”Selepas setahun yang cukup menakjubkan dengan pelbagai kenangan yang tidak akan saya lupakan, masa saya bersama JDT kini tiba ke penghujungnya,” umum Iker Undabarrena.
Tonggak tengah berusia 30 tahun itu sempat mengirimkan ucapan terima kasih buat keluarga besar JDT terutamanya kepada Pemilik Kelab, pihak pengurusan, rakan sepasukan dan penyokong Harimau Selatan.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih buat Pemilik Kelab JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dan Kiko Insa kerana mempercayai saya serta memberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah kelab hebat ini.”
“Saya juga ingin berterima kasih kepada semua kakitangan, rakan sepasukan, dan penyokong JDT yang melayan saya seolah-olah berada di rumah sendiri.”
“Saya doakan yang terbaik untuk anda semua pada masa hadapan, JDT akan sentiasa di hati saya. Luaskan Kuasamu Johor.”
Untuk rekod, Undabarrena menyertai JDT pada bulan Ogos 2024 dari pasukan LaLiga 2, CD Leganes dan melakukan 19 penampilan bersama kelab juara Liga Super 11 kali itu secara keseluruhan.
Walau bagaimanapun, pada musim ini, Undabarrena hanya tampil sekali sahaja ketika bertemu Negeri Sembilan dalam perlawanan kedua Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada 22 Ogos lalu.