Ramai peminat badminton teruja dengan pemilihan ikon tembikai yang dibuat Toh Ee Wei pada akaun media sosialnya baru-baru ini.
Ini berdasarkan pemerhatian seorang peminat bernama Airismisnora terhadap perubahan profil yang dibuat jaguh beregu campuran itu di akaun TikTok.
Pemilihan ikon tersebut dilihat signifikan kerana ikon tembikai dikaitkan dengan perjuangan rakyat Palestin.
Lebih menarik, ikon tersebut bukan saja sudah ada di akaun TikTok Ee Wei. Malah, beliau turut meletakkan ikon serupa di akaun X miliknya.
Airismisnora menyifatkan tindakan pemain berusia 25 tahun itu sudah membuatkan ramai peminat lagi mahu menyokong Ee Wei di gelanggang.
“Dekat TikTok pun beliau letakkan ikon tembikai pada profil (akaun) beliau. Beliau buat saya makin mahu menyokongnya setiap hari,” katanya di X.
Ee Wei ketika ini beraksi dalam saingan Denmark Open bersama pasangan regu, Chen Tang Jie. Juara dunia beregu campuran itu mara ke pusingan seterusnya selepas menewaskan wakil Chinese Taipei, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang.