Imanol Machuca Bakal Beraksi Bersama Bekas Bintang EPL
MakanBola
CAVS/WHUFC

Pemain sayap Harimau Malaya, Imanol Machuca berpotensi beraksi bersama seorang bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk Velez Sarsfield.

Portal La Pagina Millonaria melaporkan bekas bintang West Ham United, Manuel Lanzini semakin hampir menyertai El Fortin.

Selepas menyertai River Plate pada 2023, Lanzini dilihat berdepan kesukaran berada dalam perancangan jurulatih kelab itu, Marcelo Gallardo.

Situasi ini mendorong bekas pemain tengah The Hammers itu mencari kelab baru untuk meneruskan karier permainannya.

Pemain berusia 32 tahun itu sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Estudiantes. Walau bagaimanapun, perpindahan itu gagal direalisasikan susulan permintaan gaji Lanzini yang tinggi.

Kini, pemenang Liga Konferens Europa UEFA itu dilaporkan semakin hampir menyertai Velez. Salah satu faktor yang mendorong Lanzini memilih kelab itu ialah beliau tidak perlu meninggalkan Buenos Aires.

Bekas pemain Al-Jazira itu turut dilaporkan menyatakan kesediaan menerima gaji yang sedikit agar dapat memuktamadkan perpindahan ke El Fortin.

Penolong jurulatih Velez, Gustavo Barros Schelotto memaklumkan nama Lanzini antara nama yang sedang dipertimbangkan kelab itu.

“Kemungkinan (perpindahan) Lanzini ialah salah satu kemungkinan yang kita perlu tangani. Beliau seorang pemain yang secara logiknya menarik minat kami,” katanya.

Pada masa sama, Barros Schelotto mengingatkan El Fortin juga menilai semua pemain lain yang berada dalam radar kelab itu.

“Terdapat banyak kemungkinan lain yang kami sedang nilai untuk lihat apa yang terbaik untuk Velez.

“Kita berkemungkinan membawa seorang pemain baru, ini hasrat semua orang untuk melihat pasukan ini terus maju,” ujarnya.

Lanzini dijangka menyertai Velez sama ada sebagai ejen bebas atau secara pinjaman dari River Plate.