Imanol Machuca Dalam Perjalanan Pulang Ke Velez Sarsfield
MakanBola
Club Atletico Velez Sarsfield

Pemain warisan Harimau Malaya, Imanol Machuca sah bakal pulang ke Argentina dan bersama kelabnya, Velez Sarsfield.

Sebelum ini, nama Imanol Machuca terpalit dengan dakwaan pemalsuan dokumen oleh FIFA yang membuatkan beliau dan 6 lagi pemain warisan Harimau Malaya digantung oleh badan induk itu.

Lantaran itu, kesemua 7 pemain ini dilaporkan berkumpul di Malaysia sejak minggu lalu bagi membincangkan mengenai hukuman yang dikenakan dengan rayuan dibuat oleh pihak FAM.

Makluman terbaharu daripada jurulatih Velez Sarsfield iaitu Guillermo Barros Schelotto memaklumkan bahawa Imanol Machuca sudah dalam perjalanan pulang ke Argentina ketika ini.

Pemain sayap berusia 25 tahun itu dikatakan berada di salah satu perhentian selepas pulang dari melakukan rayuan kes FIFA sebelum kembali menyambung perjalanan ke pangkuan kelab.

“Hari ini kami berhubung dengannya (Imanol Machuca) dan dia sedang dalam perjalanan, berada di salah satu hentian dan dijangka tiba di sini pada hari Sabtu,” maklum Guillermo Barros Schelotto.

“Dia bersikap positif terhadap situasinya selepas memberi penjelasan yang baik dan berharap FIFA dapat membenarkan beliau untuk bermain. Kami kini menunggu keputusan itu.”

Walau bagaimanapun, khidmat Imanol Machuca masih belum boleh diturunkan oleh kelab Velez Sarsfield selagi mana tiada maklum balas oleh FIFA mengenai kes yang berlangsung ini.

“Selagi belum menerima maklum balas daripada FIFA, kami tak dapat menentukan apa-apa tentang langkah seterusnya,” tambah jurulatih itu lagi berdasarkan laporan Sabadovelezok.

“Dia berada dalam prestasi individu yang sangat baik dan telah banyak membantu pasukan. Kita akan lihat apa yang berlaku nanti.”

Velez Sarsfield bakal menentang Rosario Central dalam aksi Liga Argentina pada awal pagi Ahad dengan El Fortin ketika ini menduduki tangga kedua kumpulan B Second Phase selepas 11 perlawanan.