Pemain sayap Velez Sarsfield, Imanol Machuca tidak dipanggil menyertai kem Harimau Malaya untuk dua aksi persahabatan bulan September.
Ini berdasarkan senarai 29 pemain yang diumumkan pengurusan skuad kebangsaan di semua platform rasmi mereka.
Nama Machuca semakin dikenali selepas mengesahkan kedudukan dalam kesebelasan utama. Ini terbukti apabila pemain sayap berusia 25 tahun itu merekodkan tujuh penampilan bersama El Fortin.
Bekas pemain sayap Fortaleza itu turut merekodkan satu gol dan satu bantuan gol bersama Velez.
Lebih menarik, Machuca turut membantu kelab Argentina itu menyingkirkan Fortaleza dalam pusingan 16 Copa Libertadores baru-baru ini.
Kudratnya dijangka ditagih Velez untuk dua aksi ketika kalendar antarabangsa FIFA berjalan. Selepas menentang Lanus pada 31 Ogos, Machuca berpeluang menambah satu lagi trofi bersama El Fortin.
Ini kerana mereka akan mengharungi aksi Supercopa Argentina pada 7 September. Velez yang berstatus juara liga musim 2024 akan menentang Central Cordoba selaku juara Copa Argentina.
Machuca bukan satu-satunya pemain negara yang tidak dipanggil dalam kem kali ini. Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Nacho Mendez juga tiada dalam senarai.
Pemain Raith Rovers, Richard Chin berpeluang meraih penampilan pertama bersama Harimau Malaya. Satu lagi nama yang menjadi tumpuan dan diletakkan dalam senarai bersedia ialah pemain tengah St Louis City 2, Wan Kuzain Wan Kamal.