Impian Indonesia Ke Piala Dunia Ranap Di Tangan Iraq
MakanBola
AFC Asian Cup

Indonesia terpaksa melupakan impian besar beraksi di Piala Dunia 2026 apabila tewas kepada Iraq dalam aksi kelayakan di Jeddah pada awal pagi Ahad.

Keputusan 1-0 memihak Iraq ini menyaksikan Indonesia mengalami kekalahan kedua selepas tewas kepada Arab Saudi dalam perlawanan pertama lalu dan sah berada di tangga tercorot kumpulan B.

Patrick Kluivert sebagai pengendali Indonesia membuat 5 pertukaran termasuklah membawa masuk Rizky Ridho di benteng pertahanan manakala Iraq diketuai pemain senior, Jalal Hassan di pintu gol.

Tiada sebarang gol yang terhasil di sepanjang 45 minit yang pertama dengan aksi tampak seimbang meskipun Indonesia memiliki beberapa gerakan yang mampu mengancam kubu Iraq.

Jaringan tunggal perlawanan akhirnya berjaya dihasilkan oleh pemain muda Iraq, Zidane Iqbal yang melepaskan percubaan kencang dari luar kotak penalti yang terus menerjah gawang pada minit ke-76.

Gol daripada bekas pemain Manchester United itu sudah memadai buat Iraq mencatat kemenangan pertama pada pusingan ke-4 ini dan memusnahkan impian Indonesia ke Piala Dunia.

Suasana bertukar panas sebelum wisel penamat dibunyikan apabila pertahanan Iraq diperintahkan keluar padang setelah menerima kad kuning kedua pada penghujung permainan.

Aksi di Stadium Alinma, Jeddah berakhir dengan keputusan 1-0 memihak Iraq.

Indonesia menamatkan pusingan ke-4 Kelayakan Piala Dunia kali ini dengan berada di tangga terakhir kumpulan B selepas dua perlawanan manakala Iraq dan Arab Saudi akan bertemu dalam aksi terakhir.

Iraq dan Arab Saudi akan bertarung pada 15 Oktober ini bagi menentukan juara kumpulan yang mara secara automatik ke Piala Dunia manakala naib juara akan beraksi di pusingan ke-5.