Indonesia Tersingkir Awal Di Piala Dunia B-17
MakanBola
Timnas Indonesia

Indonesia sah tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia B-17 2025 di Qatar.

Indonesia merupakan satu-satunya yang wakil Asean di Piala Dunia B-17 edisi kali ini dan dikendalikan oleh Nova Arianto untuk menghadapi cabaran Brazil, Zambia serta Honduras di dalam kumpulan H.

Kempen Piala Dunia B-17 ini tidak berjalan seperti diharapkan apabila Sang Garuda Muda ini membuka tirai saingan dengan kekalahan 3-1 di tangan Zambia sebelum tewas 0-4 kepada Brazil.

Dua kekalahan tersebut membuatkan laluan Indonesia B-17 untuk ke pusingan kalah mati tampak sukar dengan cuma 8 negara terbaik di kedudukan ke-3 bakal mengiringi juara dan naib juara kumpulan.

Pada aksi terakhir bertemu Honduras, skuad muda Indonesia akhirnya berjaya memperoleh kemenangan pertama dengan keputusan 2-1 hasil jaringan Evandra Florasta serta Alberto Fadly.

Walau bagaimanapun, kemenangan 2-1 tersebut tidak cukup bagi membawa Indonesia melangkah ke pusingan kalah mati Piala Dunia B-17 dan mengakhiri cabaran di kedudukan ke-3 kumpulan H.

Juara kumpulan H menjadi milik Brazil manakala Zambia pula berada di tempat kedua tatkala Honduras pula terpaksa akur menghuni kedudukan tercorot tanpa sebarang mata selepas 3 aksi.