Indra Putra: Ini Masa Penyerang Tempatan Beri Saingan Di Liga Super
MakanBola
PT Athletic FC

Bekas penyerang kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin berharap penyerang tempatan dapat memberi saingan lebih hebat dalam Liga Super.

Hasrat itu dizahirkan beliau selepas melihat penyerang tempatan bergelut untuk mengisi tempat sebagai penyerang utama pasukan Liga Super.

Ini dapat dilihat menerusi majoriti pasukan liga menggunakan kudrat tonggak import sebagai peledak utama mereka.

Misalnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) menggunakan kudrat Bergson da Silva dan Jairo da Silva. Selangor FC pula memiliki dua penyerang Brazil, Chrigor Moraes dan Willian Lira.

Perkara ini turut diakui Bergson yang ingin melihat lebih ramai pemain tempatan tampil memberi cabaran selaku penjaring gol.

Apabila diminta mengulas komen penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super itu, Indra mengakui situasi ini perlu diubah demi merancakkan lagi kemeriahan Liga Malaysia (Liga M).

“Saya inginkan penyerang tempatan kita untuk bersaing dalam mendapatkan (status) sebagai penjaring (utama).

“Dan kita sendiri boleh lihat sekarang ini, kebanyakan pemain tempatan kita, tiada seorang penyerang pun yang kelihatan sebagai penyerang (utama) dalam pasukan.

“Dan sekarang inilah masa untuk pemain-pemain kita memberi saingan dalam liga kita,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Indra ditemui selepas majlis penyerahan plak penghargaan Malaysian Football League (MFL) kepada Bergson. Ini sebagai mengiktiraf beliau sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman liga yang baharu.

Bergson memintas rekod sebelumnya iaitu 106 gol yang dicipta Indra dengan 109 gol. Rekod itu dilakar ketika menentang Sabah FC baru-baru ini.