Bekas penjaga gol kebangsana, Azmin Azram Abdul Aziz menyifatkan usaha Danial Amier Norhisham mendapatkan latihan peribadi sebelum musim 2025/26 bermula kini membuahkan hasil.
Pandangan itu dibuat beliau selepas melihat pemain tengah Kuching City FC itu membantu pasukannya menewaskan Sabah FC 1-0 di Stadium Likas.
Aksi tersebut menyaksikan bekas pemain tengah Felda United itu kerap membuat gerakan-gerakan yang mencemaskan benteng Sang Badak.
Azmin Azram percaya usaha Danial mendapatkan latihan tambahan sebelum musim 2025/26 dilihat membantu meningkatkan prestasinya di atas padang.
“Apa yang membezakan (prestasi) Danial Amier (musim lalu) dengan tahun ini bagi saya ialah memerhatikan pemain yang melakukan latihan sendiri selepas tamat musim.
“Ini yang membezakan Danial Amier yang dulu dengan yang sekarang. Komitmen di luar padang selepas tamat musim, apa yang pemain ini buat (termasuk) persediaan dia.
“Mungkin ini sedikit sebanyak membantu Danial Amier meningkatkan prestasinya dan inilah yang anda lihat dengan Danial Amier hari ini,” katanya ketika menjadi panel Arena Bola.
Musim ini menyaksikan pemain tengah berusia 28 tahun itu telah membuat enam penampilan dan mencipta satu bantuan gol.
Tidak mustahil seandainya prestasi ini terus dikekalkan, Danial Amier berpeluang kembali dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.
Ketika ini, tiga pemain The Cats yang dipanggil Peter Cklamovski untuk dua aksi menentang Laos. Mereka ialah Jordan Mintah, Ramadhan Saifullah Usman dan Haziq Nadzli.