Instagram Facundo Garces Diserang Netizen Seberang
MakanBola
Haniff Che Mohamad/MakanBola

Akaun Instagram milik pemain pertahanan Harimau Malaya, Facundo Garces diserang warga maya Indonesia.

Ini selepas warga maya Indonesia mendakwa orang besi Alaves itu telah menipu tentang statusnya sebagai pemain Malaysia.

Mereka turut menjadikan transkripsi temu bual Garces bersama portal Sepanyol, El Correo itu sebagai bukti bahawa beliau menipu.

Lantaran itu, bek tengah berusia 25 tahun itu memaklumkan bahawa transkripsi tersebut salah. Garces turut menegaskan bahawa beliau bangga beraksi sebagai pemain Harimau Malaya.

Bekas bek tengah Colon itu kemudiannya menjadikan akaun Instagramnya terhad untuk para pengikut beliau sahaja.

Langkah tersebut bertujuan mengelak lebih ramai warga maya Indonesia menyerang setiap hantaran beliau. Garces kemudiannya kembali menjadikan akaunnya mudah diakses pengguna Instagram tidak lama selepas itu.

Hal ini mendorong ramai peminat bola sepak negara memberi sokongan kepada beliau terutama di Instagram.