Laman Instagram milik ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski mula mendapat sambutan dari para peminat.
Peter Cklamovski memulakan perjalanan kerjaya di Malaysia dengan memegang jawatan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya bermula pada 16 Disember tahun lalu sehingga kini.
Kehadiran Cklamovski yang juga merupakan bekas pengurus FC Tokyo ini dilihat membawa satu perubahan besar di dalam corak permainan pasukan negara dan pengurusan pemain di atas padang.
Hasilnya, pasukan Harimau Malaya cemerlang melakar rekod tanpa kalah sepanjang tahun 2025 ini dengan 7 kemenangan dan satu keputusan seri dalam 8 perlawanan yang ditempuhi di bawah kendalian Peter Cklamovski.
Hal ini membuatkan nama Peter Cklamovski menjadi bualan ramai, manakala hubungan baik jurulatih kelahiran Australia itu dengan para penyokong terus menimbulkan ikatan yang cukup mesra.
Oleh itu, tidak hairanlah mengapa laman Instagram Peter Cklamovski yang baharu diwujudkan juga mula menerima perhatian dan pengikut yang ramai dalam kalangan ‘ekor Harimau Malaya’.
Menerusi tinjauan, akaun rasmi Cklamovski ini mula memuat naik hantaran pertama sekitar pertengahan Oktober lalu dan telah pun mengumpul lebih 25,000 pengikut yang rata-rata peminat negara.
Hantaran terbaharu yang dimuat naik semalam selepas aksi berdepan Nepal juga menarik perhatian apabila Cklamovski memilih lagu Gemilang nyanyian Jaclyn Victor sebagai muzik latar belakang bersama foto.
”Pandai coach pilih lagu, apa-apa pun teruskan momentum cemerlang dan kita akan jumpa tahun depan,” tulis Pian_219 di ruangan komen.
“Selepas hafal Negaraku, lagu Jaclyn Victor pula coach,” kata seorang lagi peminat aiman_hafz yang kagum dengan Peter Cklamovski.
Tugasan seterusnya menanti Peter Cklamovski dan Harimau Malaya adalah aksi getir bertemu Vietnam dalam perlawanan terakhir kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 pada 31 Mac hadapan.