“InsyaAllah” – Cristiano Ronaldo
MakanBola
Al-Nassr FC

Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo berazam untuk tidak bersara sehingga beliau mencapai sasaran 1,000 gol.

Hasrat itu dizahirkan legenda Manchester United itu ketika menerima anugerah dalam Globe Soccer Awards di Dubai baru-baru ini.

Ronaldo percaya sasaran itu mampu dicapai selagi mana beliau tidak mengalami masalah kecederaan.

“Anda tahu saya masih mahu bermain. Anda tahu apa sasaran saya. Saya mahu menang lebih banyak trofi dan saya mahu capai nombor yang anda tahu.

“Saya pasti akan mencapai nombor itu jika tidak mengalami kecederaan, InsyaAllah,” katanya seperti dilaporkan BBC Sport.

Ronaldo ketika ini sudah memiliki 956 gol. Beliau merekodkan dua lagi gol dalam aksi Saudi Pro League (SPL) antara Al-Nassr dan Al-Akhdoud pada 27 Disember lalu.

Ini melebarkan kelebihan Al-Nassr di puncak liga dengan 30 mata, empat mata di hadapan pencabar terdekat, Al-Hilal.