IOC Mahu Bela Nasib Atlet Palestin
UltraSukan
Olympic Palestine

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menzahirkan komitmen untuk membela nasib atlet Palestin.

Komitmen ini dizahirkan Presiden IOC, Kirsty Coventry selepas menerima kunjungan hormat delegasi Jawatankuasa Olimpik Palestin (POC) pada 1 Oktober lalu.

Delegasi Palestin diketuai Presiden POC, Jibril Rajoub. Dua figura ini membincangkan pelbagai isu termasuk sokongan kewangan untuk pembinaan semula kemudahan sukan yang diserang Israel.

Coventry turut berharap keamanan akan kembali wujud di bumi Palestin susulan konflik Palestin-Israel yang tercetus sejak Oktober 2023.

“Seperti semua orang yang berminat dengan keamanan di rantau ini, kami mengikuti rapat perkembangan diplomatik semasa dan berharap ia akan membawa kepada keamanan.

“Kami menyatakan rasa simpati kepada semua yang terkesan akibat konflik ini dan kita menyatakan solidariti dengan semua komuniti Olimpik di rantau ini,” katanya.

Pertemuan ini menyaksikan IOC dan POC mencapai persetujuan untuk peruntukan dana buat atlet Palestin yang akan bertanding dalam temasya besar dalam beberapa tahun berikutnya.

Antara temasya yang bakal disertai atlet Palestin ialah Sukan Belia Asia 2025 di Bahrain, Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun dan Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Temasya Sukan Belia Asia 2025 menyaksikan Palestin meraih pingat emas pertama mereka dalam sejarah kejohanan itu.