Ireland FA Gesa UEFA Gantung Negara Haram
MakanBola
FA Ireland

Persatuan Bola Sepak Ireland (FAI) meluluskan usul menggesa UEFA untuk menggantung Israel sebagai ahli gabungan badan induk itu.

The Guardian melaporkan usul tersebut dikemukakan kelab Bohemian dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) FAI pada 8 November lalu.

Bohemian mengambil langkah mengemukakan usul tersebut selepas mendapati Persatuan Bola Sepak Israel (IFA) melanggar dua statut UEFA.

IFA didapati bukan saja melanggar polisi anti-perkauman UEFA. Malah, IFA juga didapati menubuhkan kelab-kelab di kawasan petempatan haram tanpa mendapat keizinan Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA).

FAI memaklumkan usul Bohemian telah mendapat sokongan 74 undi. Tujuh lagi ahli gabungan menentang dengan dua ahli gabungan FAI memilih berkecuali.

Resolusi ini dilihat susulan kepada gesaan Persekutuan Bola Sepak Turkiye (TFF) dan Persekutuan Bola Sepak Norway (NFF) untuk UEFA menggantung Israel pada September lalu.

Ini selepas pelbagai pihak berautoriti termasuk suruhanjaya siasatan PBB mengesahkan Israel melakukan jenayah perang dan kemanusiaan ke atas Palestin di Semenanjung Gaza.

Seandainya UEFA meneruskan usaha menggantung Israel, badan induk itu bakal bertelagah dengan FIFA. Ini kerana FIFA sebelum ini menyatakan tidak akan mengusir Israel atas alasan badan induk itu tiada kena-mengena dengan isu geopolitik.

UEFA masih boleh menggantung Israel dan kelab-kelab mereka daripada menyertai sebarang pertandingan anjurannya.

Walau bagaimanapun, Israel masih boleh beraksi dalam kelayakan Piala Dunia kerana ia diuruskan oleh FIFA.