Ismaheel Akinade Berhijrah Ke Uzbekistan
MakanBola
Terengganu FC

Bekas penyerang Terengganu FC, Ismaheel Akinade memilih berkelana ke bumi Uzbekistan.

Ini selepas kelab baharunya, FK Andijan mengumumkan perpindahan penyerang berusia 31 tahun itu baru-baru ini.

“Penyerang baharu pasukan kita ialah Ismaheel Akinade! Untuk makluman, Akinade dilahirkan pada 11 Februari 1994 di Nigeria. Beliau akan bermain di posisi penyerang tengah.

“Kelab terakhirnya ialah pasukan Malaysia, Terengganu. Sebagai penyerang, beliau sudah beraksi sebanyak 299 kali, menjaringkan 80 gol dan mencipta 47 bantuan gol,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Perpindahan ini menyaksikan Akinade bakal berdepan dua bekas orang besi yang pernah mewarnai saingan Liga Super.

Dua pemain yang dimaksudkan ialah Bojan Ciger dan Umarbek Eshmurodov. Ciger pernah mewakili Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 2023.

Umarbek pula pernah menyarung jersi Selangor FC untuk musim 2024/25. Kedua-duanya masing-masing mewakili Neftchi Fergana dan FC Nasaf.

Akinade menjadi bekas pemain import Peteh terbaru yang mendapat kelab selepas meninggalkan kelab Pantai Timur itu.

Terdahulu, Ivan Mamut menyertai NK Varazdin. Manuel Ott dan Nelson Bonilla pula masing-masing menyertai Rayong dan CD FAS.