Isteri Pemain Bidas Kelantan FA
MakanBola
FA Malaysia

Isteri seorang pemain Kelantan FA membidas pasukan itu kerana masih gagal melunaskan tunggakan gaji pemain-pemain termasuk suaminya.

Luahan itu dibuat seorang pengguna TikTok bernama Syyimarazak dalam satu hantaran video baru-baru ini. Dia mendakwa Kelantan FA masih gagal melunaskan tunggakan gaji suaminya, Shahril Sobri.

Syyimarazak turut memaklumkan rakan-rakan suaminya juga masih tidak tahu bila pasukan Pantai Timur itu akan melangsaikan tunggakan gaji mereka.

“Kelantan FA masih lagi senyap dan tak ada jawapan tentang gaji mereka. Satu pasukan sekarang ini
masih lagi tertanya-tanya di mana gaji mereka ataupun hak mereka,” katanya.

Dia turut menggesa seorang figura kenamaan yang menguruskan pasukan itu agar melangsaikan tunggakan gaji semua pemain dan pegawai yang terlibat.

“Untuk Kelantan FA, saya harap Dato’ dapat melansaikan semua hutang mereka ataupun hak mereka ya.

“Sebab itu memang hak mereka. Kalau tidak, tak apalah ya. Dato’ selesailah dekat akhirat nanti,” ujarnya.

Meskipun figura itu tidak dinyatakan identitinya, ramai peminat percaya figura yang dimaksudkan ialah pengurus pasukan itu.

Kelantan FA pernah bersaing dalam saingan Piala Presiden dan Piala Belia musim 2024/25.