Isu FAM & FIFA Tiada Dalam Bidang Kuasa SPRM
MakanBola
SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan isu membabitkan FAM dan FIFA tidak berada dalam bidang kuasa suruhanjaya berkenaan.

Hal ini dinyatakan SPRM menerusi satu kenyataan media yang disiarkan baru-baru ini. Suruhanjaya itu memaklumkan mereka sudah berhubung dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Selepas meneliti semua dokumen yang diserahkan KDN dan JPN, SPRM mendapati isu ini bersifat teknikal dan tidak berada dalam bidang kuasa suruhanjaya tersebut.

“Berdasarkan semakan awal, SPRM ingin menegaskan bahawa isu ini dilihat sebagai berkaitan dengan proses teknikal dan tidak berada dalam bidang kuasa SPRM buat masa ini. Selain itu, tiada sebarang asas kesalahan yang dikenal pasti di bawah Akta SPRM 2009 setakat ini.

“Sehubungan itu, SPRM tidak akan berhubung dengan pihak FIFA dan menyerahkan sepenuhnya isu ini kepada pihak FAM untuk diselesaikan bersama FIFA,” kata SPRM dalam satu kenyataan.

SPRM turut memohon kepada semua pihak agar memberi ruang kepada penyelesaian yang sedang berjalan antara FIFA dan FAM.