Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski enggan mengulas lanjut mengenai isu membabitkan Malaysia dan FIFA yang hangat diperkatakan ketika ini.
Skuad kebangsaan kini berada di Laos bagi menghadapi aksi ke-3 pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu tuan rumah dengan misi untuk meraih kemenangan di gelanggang lawan.
Ujian berat turut menimpa Malaysia ketika ini apabila terpalit dengan tuduhan pemalsuan dokumen melibatkan 7 pemain warisan Harimau Malaya oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA.
Walau bagaimanapun, Peter Cklamovski mengganggap isu di luar padang itu bukanlah urusan pasukan buat masa ini selain mahu fokus memberi perhatian kepada perlawanan berdepan Laos.
”Ya, itu (isu FIFA) sesuatu yang langsung di luar kawalan kami,” tegas Peter Cklamovski ketika sidang media pra perlawanan
“Kami tidak menumpukan perhatian kepada perkara di luar kem latihan.”
“Saya faham ketika ini ada banyak kekecohan yang sedang berlaku sekali lagi, tetapi ini bukan dalam kawalan kami dan tiada kaitan dengan kami,” jelas jurulatih kelahiran Australia itu.
Ketika ini, tiada sebarang makluman terkini daripada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai isu yang berlaku ini dengan rayuan rasmi bakal dihantar kepada FIFA tidak lama lagi.
Sementara aksi Laos vs Malaysia bakal berlangsung pada 9 Oktober 2025 di New Laos National Stadium dengan sepak mula perlawanan dijadualkan jam 8 malam waktu tempatan.