Itali memastikan Israel hampa pada akhir perlawanan apabila meraih kemenangan 5-4 dalam aksi kelayakan Piala Dunia Zon Eropah.
Kedua-dua pasukan berharap dapat meneruskan rentak kemenangan dari aksi kelayakan sebelumnya. Legenda AC Milan, Gennaro Gattuso berharap dapat meraih kemenangan kedua sebagai jurulatih Azzurri.
Pemain baharu Villarreal, Manor Solomon beraksi di bahagian sayap Israel. Jeneral tengah Newcastle United, Sandro Tonali mengemudi jentera tengah Itali.
Israel mendahului pada minit ke-16 menerusi gol sendiri pemain tengah Juventus, Manuel Locatelli.
Itali memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga rehat menerusi gol bekas penyerang Everton, Moise Kean pada minit ke-40.
Bersambung pada babak kedua, permainan semakin rancak membabitkan kedua-dua pasukan. Itali sekali lagi ketinggalan apabila Dor Peretz menyumbat gol kedua Israel pada minit ke-52.
Keceriaan Israel hanya bertahan selama dua minit. Kean yang kini mewakili Fiorentina sekali lagi menyamakan kedudukan buat Azzurri.
Pemain sayap Napoli, Matteo Politano kemudiannya membantu Itali mendahului menerusi gol pada minit ke-58.
Penyerang Atletico Madrid, Giacomo Raspadori merobek gawang Israel menerusi gol pada minit ke-81.
Israel kemudiannya bangkit menyumbat dua gol menerusi gol sendiri Alessandro Bastoni dan Peretz pada minit ke-87 dan 89.
Tatkala Israel berharap dapat mencuri satu mata, Tonali muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-91. Keputusan 5-4 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Itali berada di tempat kedua Kumpulan I dengan kelebihan jaringan meskipun berkongsi sembilan mata dengan Israel.
Kean dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore. Dua golnya memastikan beliau meraih 8.4 mata.
Selepas ini, Itali akan menentang Estonia untuk aksi kelayakan seterusnya pada 12 Oktober. Israel pula akan menentang Norway pada hari yang sama.
Terdahulu, Norway sudah menyatakan kutipan tiket daripada aksi berkenaan akan disumbangkan kepada badan-badan kemanusiaan yang beroperasi di Palestin.
Ini bertujuan meringankan penderitaan rakyat Palestin terutama yang berada di Semenanjung Gaza.