“Itu Keputusan Presiden FAM Sendiri” – Yusoff Mahadi
MakanBola
FA Malaysia

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi menjelaskan mengenai punca peletakkan jawatan Datuk Joehari Ayub baru-baru ini.

Rabu lalu, Datuk Joehari Ayub mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden FAM selepas 6 bulan memegang peranan nombor satu di badan induk bola sepak negara itu.

Keputusan Datuk Joehari tersebut tampaknya menimbulkan spekulasi hangat dalam kalangan penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan dengan mengaitkan suasana di FAM menjadi punca utama.

Ini ditambah dengan langkah berdiam diri yang diambil oleh pihak FAM sebaik keputusan diterima Mesyuarat Exco pada Rabu tanpa sebarang penjelasan lanjut mengenai peletakkan jawatan ini.

Datuk Wira Yusoff Mahadi selaku Pemangku Presiden FAM dalam satu sidang media pada Jumaat berkata, langkah itu diambil bukan kerana badan induk itu berasa takut dengan keputusan ini.

Walau bagaimanapun, FAM enggan menimbulkan sebarang spekulasi dari pihak luar sebaik keputusan Mesyuarat Exco dikeluarkan dalam satu kenyataan pada sebelah petang hari Rabu.

”Ini bukan soal takut (keluarkan kenyataan), jawapan tetap sama. Kami terima keputusan Datuk Joehari Ayub untuk meletakkan jawatan selaku Presiden FAM.”

”Selepas seminggu, kami bawa ini ke Mesyuarat Exco dan seluruh ahli sebulat suara menerima keputusan tersebut.”

”Kami terima dan hormati (keputusan Datuk Joehari), oleh kerana ini adalah keputusan jangka masa pendek, kami tak mahu timbul spekulasi luar,” jawab beliau.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan meletakkan jawatan ini dibuat oleh Datuk Joehari atas sebab peribadi dan pihak FAM mengucapkan terima kasih serta mendoakan kejayaan buat mantan Presiden itu.

”Ini adalah keputusan peribadi Datuk Joehari dan kami di FAM terima serta mengucapkan terima kasih kepada beliau,” tegas Datuk Wira Yusoff Mahadi.

“Semoga beliau berjaya dalam apa jua bidang yang dipilih dan kami di sini mahu fokus kepada masa depan.”

Ketika ini, jawatan Presiden FAM akan disandang oleh Datuk Wira Yusoff Mahadi sehingga kongres pemilihan badan induk itu pada tahun hadapan.