Izham Tarmizi Tak Menyesal Pilih JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Bekas penjaga gol kebangsaan, Izham Tarmizi Roslan tidak menyesal memilih menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT).

Hal ini dinyatakan penjaga gol berusia 34 tahun itu apabila ditanya tentang tempohnya bersama Harimau Selatan.

Izham merasakan setiap pengalaman yang ditimba bersama pasukan itu cukup bermakna. Ini termasuk pendedahan dan ilmu yang dikongsikan barisan kejurulatihan JDT yang bertaraf antarabangsa.

“Sebab apa nak cakap menyesal? Sebab dekat JDT, saya banyak belajar banyak benda,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.

Izham turut menafikan sentimen negatif peminat bola sepak tempatan berkenaan pemain yang memilih berhijrah ke JDT.

Ini kerana pada hemat beliau, semua pemain tanpa mengira pemain import atau tempatan, perlu berjuang habis-habisan untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

“Awak masuk JDT, awak kena berjuang dapatkan tempat sebagai pemain utama,” tambahnya.

“Walaupun nama awak besar di kelab luar, awak silap jika awak sertai JDT awak rasa akan dapat bermain.”

Izham antara 11 orang pemain yang meninggalkan Harimau Selatan selepas tamat musim 2024/25. Beliau kini fokus kepada perniagaan jenama barangan sukan yang menghasilkan sarung tangan penjaga gol berkualiti.

Izham turut menjadi sebahagian daripada beberapa bekas pemain JDT yang menyertai Kursus Kejurulatihan Diploma C AFC/FAM anjuran Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).