Izzuddin Afif Wakili Skuad FK Sarajevo B-19
MakanBola
FK Sarajevo

Prospek muda Malaysia, Izzuddin Afif Nazaruddin berpeluang mewakili skuad FK Sarajevo Bawah 19 Tahun (B-19).

Ini selepas akaun Harimau Abroad mengulang siar ciapan Pemain Ke-12 tentang penampilan pemain berusia 17 tahun itu bersama kelab Bosnia itu baru-baru ini.

“Izzuddin Afif Nazaruddin yang sedang menjalani sesi percubaan di kelab (FK Sarajevo) beraksi dalam perlawanan persahabatan akademi FK Sarajevo dengan FK Sloga Doboj pada Ahad lalu,” katanya di X.

Izzuddin Afif merupakan sebahagian daripada tiga pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang dipilih menjalani sesi percubaan bersama FK Sarajevo.

Selain beliau, turut terpilih ialah Muhammad Ilham Azani Mohd Azamin dan Muhammad Iman Danish Mohd Shukor.

Izzuddin Afif dan Ilham Azani masing-masing beraksi sebagai penyerang dan pemain tengah AMD B-17. Iman Danish pula merupakan penyerang AMD B-16.

Ketiga-tiga pemain itu menjalani sesi percubaan bersama FK Sarajevo bermula pada 5 Julai lalu. Sesi percubaan mereka bakal berakhir pada 26 Julai ini.