Pemain Harimau Malaya, Dion Cools mencetak gol pertama bersama Cerezo Osaka dalam saingan J-League 1 pada Ahad.
Khidmat Dion Cools sekali lagi menjadi pilihan Cerezo Osaka dalam perlawanan J-League 1 menentang Kyoto Sanga pada Ahad di tempat sendiri dalam misi mengutip 3 mata penuh.
Walau bagaimanapun, gawang Cerezo Osaka terlebih dahulu dibolosi oleh pemain lawan, Temma Matsuda pada minit ke-44 berpunca daripada situasi sepakan penjuru Taiki Hirato.
Jaringan Kyoto Sanga tersebut memberikan kelebihan untuk pasukan pelawat dan membuatkan Cerezo Osaka bimbingan Arthur Papas kembali ke bilik persalinan dengan kehampaan.
Bersambung babak kedua, tuan rumah kembali memberikan ancaman ke arah gawang lawan dengan beberapa serangan yang dilancarkan namun dipatahkan oleh pertahanan lawan.
Akhirnya, pada minit ke-57, Dion Cools berjaya menyamakan kedudukan buat Cerezo Osaka yang juga berpunca daripada tendangan penjuru dan mengatasi penjaga gol lawan, Gakuji Ota.
Gol Dion Cools ini adalah jaringan sulungnya bersama Cerezo Osaka dan menyaksikan bek kelahiran Sarawak ini mencipta sejarah menjadi pemain Malaysia pertama meledak gol dalam liga tertinggi di Jepun.
Walau bagaimanapun, Cerezo Osaka terpaksa akur tumbang 1-2 di gelanggang sendiri kepada Kyoto Sanga selepas Shun Nagasawa menyumbat gol kemenangan 3 minit sebelum aksi tamat.
Kekalahan ini meletakkan Cerezo Osaka di kedudukan ke-10 J-League dengan mengutip 43 mata selepas 32 perlawanan dengan Nagoya Grampus akan jadi lawan seterusnya pada 4 Pktober nanti.