Jaguh Muay Thai Malaysia, Johan Ghazali bakal membuka tahun 2026 menerusi pertarungan dengan jaguh Filipina-Amerika, Sean Climaco.
Pertarungan ini diumumkan ONE Championship pada 12 Disember lalu. Ia menjadi sebahagian daripada ONE Fight Night 39 yang diadakan di Stadium Lumpinee, Bangkok pada 24 Januari 2026.
Johan turut berkongsi berita sama di media sosial. “Simpan tarikh ini, 24 Januari. Johan sudah kembali,” katanya di Instagram.
Pemilihan Climaco sebagai lawan Johan oleh ONE Championship dilihat merealisasikan hasrat jaguh berusia 31 tahun itu. Ini kerana beliau pernah menyimpan hasrat bertarung dengan jaguh negara itu.
“Saya lapar dan sudah bersedia untuk bertarung lagi sebelum tahun 2025 berakhir. Saya hormati Johan kerana KO (kemenangan ke atas Zakaria El Jamari) pada hujung minggu lalu.
“Kita berkongsi lawan sama di ONE dan kita sentiasa mencari peluang untuk membuat knockout – saya fikir sudah tiba masanya kita bertemu,” katanya di Instagram.
Menariknya, Climaco memiliki rekod berbeza dengan dua bekas lawan Johan, Diego Paez dan Johan Estupinan. Selepas tewas kepada Estupinan pada September 2024, beliau bangkit menewaskan Paez pada Februari 2025.
Climaco memiliki rekod dua kemenangan dan dua kekalahan dalam ONE setakat ini. Johan pula memiliki rekod tujuh kemenangan daripada 10 pertarungan ONE.